Tinta Si Isteri Mekanik: Thanks frens..DIGI lovetosave

06 August 2009

Thanks frens..DIGI lovetosave

DiGi ‘klik’ kumpul dana RM150,000
Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my


SHAH ALAM: Pertama kali menggunakan kaedah ‘klik’ dalam kempen amal, ‘Love to Save’, Digi Telecommunications Sdn Bhd (DiGi) mengumpul RM150,000 untuk disumbangkan kepada 14 pertubuhan kebajikan.

Dana terkumpul itu diperoleh hasil klik atau undian pelanggan DiGi serta orang ramai yang mempunyai semangat membantu meskipun setiap satu klik pada mana-mana pertubuhan pilihan bernilai RM5.

Ketua Segmen DiGi, Koay Chee Keong, berkata pihaknya memilih pendekatan klik kerana lebih mudah dan menyenangkan semua pihak untuk mengikuti kempen, tidak hanya tertakluk kepada pelanggan DiGi saja.

Katanya, lebih 19,000 penyokong berdaftar menyertai kempen itu yang dijalankan selama sebulan bermula Jun lalu menerusi web www.lovetosave.com.my, manakala 86,615 pelawat mengunjungi web berkenaan.

“Walaupun jumlah klik diperoleh tidak mencukupi (untuk capai sasaran), kami tetap mengotakan janji menyumbang RM150,000 kepada pertubuhan ini dengan agihan tambahan dibuat sama rata.

“Begitupun, setiap pertubuhan menerima jumlah berbeza memandangkan sumbangan utama tetap bergantung kepada pilihan orang ramai yang klik pada organisasi kebajikan mengikut kategori sosial, kesihatan dan alam sekitar.

“Pihak DiGi tetap berpuas hati dengan respons masyarakat Malaysia melambangkan mereka prihatin serta bersungguh menjayakan kempen ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kempen ‘Love to Safe’ di sini, semalam.

Selain itu, Koay berkata objektif mewujudkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan membantu kelompok dalam kesusahan serta beramal kebajikan tercapai menerusi maklum balas positif kempen itu.

Antara 14 pertubuhan yang menerima sumbangan termasuk Majlis Kanser Nasional (Makna) dengan jumlah RM19,980, SPCA Selangor (RM19,235), HOPE Worldwide KL (RM15, 065.00), Yayasan Institut Jantung Negara (RM12, 540), Persatuan Alam Sekitar Malaysia (RM11, 920) dan Pertubuhan Pertolongan Wanita (RM10, 045).

Turut menerima sokongan, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (RM10, 055), Pusat Persekitaran Global (RM9,625), Majlis Kebajikan Kanak-kanak Malaysia (RM7,635), Yayasan Aids Malaysia (RM7,620) dan Majlis Orang Buta Kebangsaan (RM7,280).

Manakala Hospis Malaysia menerima RM7,100, Borneo Conservation Trust, RM6,280 dan Majlis Pertubuhan Kebangsaan Warga Emas (NACSCOM) sebanyak RM5,620.

Tinta Si Isteri Mekanik Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign