Tinta Si Isteri Mekanik: Salah Faham Dalam Rumah Tangga (Part 1)

16 October 2009

Salah Faham Dalam Rumah Tangga (Part 1)

Salah faham sering berlaku dalam sebuah rumahtangga. Suami isteri sering merasakan ketidakadilan dalam rumahtangga. Ada sahaja yang tidak kena terutama dalam melaksanakan rutin harian rumahtangga. Suami rasa si isteri membebankan dirinya, sebaliknya pula isteri menganggap dirinya jadi hamba dalam rumahtangga. Keadaan ini mungkin dianggap remeh tetapi jika dibiarkan ia akan menjadi nanah @ barah, malah akan menyebabkan pergaduhan, perasaan tidak puas hati dan paling teruk penceraian, seterusnya akan mempengaruhi kehidupan seharian jika tidak di atasi. Perkara yang dianggap remeh ini mempunyai kesan yang besar dalam hubungan, jika tidak percaya semaklah perkara di bawah :

۝ Isteri Tukang Cuci : Para suami ingatlah bahawa isteri bukan tukang cuci. Bagi pasangan bekerja, fahamlah apabila pulang ke rumah anda berdua pasti keletihan. Jadi bekerjasamalah menguruskan rumah. Jangan hanya melepaskan tugas kepada isteri sahaja. Sekiranya terlalu penat, biarkan sahaja jangan mendesak atau membuat pelbagai permintaan kepada isteri.

۝ Isteri Tukang Masak : Sedarlah isteri bukan tukang masak dan belum tentu pandai memasak. Sewajarnya isteri diberi peluang untuk memasak atau tidak. Suami harus berterima kasih kepada isteri yang memasak untuknya. Ringan tangan membantunya atau sekurang-kurangnya ambil tahu keperluan dapur dan jangan bergantung sepenuhnya kepada isteri. Jangan pandai mengkritik sahaja. Jika tahu sama-sama sibuk dan tidak sempat memasak, beli sahajalah.

۝ Isteri Tukang basuh punggung anak : Tugas ini perlu diketahui oleh pasangan. Jangan beri alasan geli atau tidak biasa kerana alasan itu tidak boleh diterima memandangkan anak adalah tanggungjawab anda berdua. Jadi suami harus belajar menguruskan anak lebih-lebih lagi ketika kecemasan.

۝ Isteri ke pasar : Sudah menjadi lumrah, isteri yang perlu ke pasar. Suami selalu memberi alasan malas kerana tidak selesa, kotor dan terlalu banyak barang yang nak dibeli. Tugas ke pasar adalah kerja bersama. Sekiranya isteri tidak sempat ke pasar, sepatutnya suami mengambil tugas berkenaan.

۝ Isteri lebih tahu : Setiap kali anak sakit, isteri yang selalu bertanya kepada doktor mengenai kesihatan anak, sebaliknya suami hanya berdiam diri. Kononnya isteri lebih arif mengenai anak. Sepatutnya suami dan isteri sama-sama bertemu doktor bertanya keadaan anak mereka.

۝ Isteri lipat kain : Melipat kain adalah kerja yang remeh bagi sesetengah orang. Bagi isteri yang bekerja, ada kalanya tugas ini tidak sempat dilakukan dan menyebabkan baju bertimbun tanpa dilipat. Jadi suami harus faham dan membantu isteri melakukannya tatkala isteri sedang melipat kain. Jangan pandang sahaja.

۝ Isteri – pengorbanan : Lumrah isteri sering berkorban. Adakah ini benar? Sebenarnya ikatan sebuah perkahwinan menuntut pengorbanan kedua-dua pihak dan ia sepatutnya adil. Sebagai contohnya ketika sambutan perayaan. Buatlah jadual giliran agar memuaskan hati semua.

۝ Isteri kejutkan suami : Salah satu tugas isteri adalah mengejutkan suami dari tidur. Tiada salahnya jika suami kejutkan isteri sekiranya isteri keletihan. Apa kata ringankan tulang untuk bantu isteri uruskan anak-anak di waktu pagi.

۝ Isteri perlu beralah : Isteri selalu beralah atau bertolak ansur. Sepatutnya suami dan isteri sama-sama mengalah agar tiada siapa rasa menang atau kalah. Kedua-dua harus bertimbang rasa dan bertolak ansur. Jangan kerana mempertahankan ego sebagai suami, anda meletakkan semua beban kesalahan pada isteri. Ada kalanya suami juga harus mengalah.

۝ Isteri membebel : Berleter sinonim dengan isteri. Bagaimanapun tidak semua isteri suka berleter dan kalau ya pun, ada kalanya disebabkan suami. Suami juga apa kurangnya ada yang kuat membebel. Namun hati-hati jangan sampai mengeluarkan kata-kata tidak baik kerana ia boleh menjadi racun dalam rumahtangga.

۝ Isteri kumpul pinggan mangkuk : Memang sifat semua jadi isteri suka mengumpul pinggan mangkuk. Suami sepatutnya menyokong isteri dalam hal ini kerana ia ada kebaikannya terutama ketika ada majlis di rumah. Suami mungkin tidak terfikir mengenai keperluan itu. Namun janganlah kumpul kerana ingin menunjuk-nunjuk.

۝ Isteri buat persiapan hari raya : Selalunya isteri yang sibuk membuat persiapan dan segala keperluan hari raya. Suami jarang mengambil tahu perkara itu. Seharusnya suami turut membantu atau memberi wang untuk keperluan berkenaan bukan bergantung kepada isteri sahaja.

۝ Isteri mulakan perbualan : Dalam banyak situasi, isteri sering memulakan perbualan. Suami seolah-olah hilang idea untuk berbual bersama isteri. Apalah salahnya sekiranya anda berbual seolah-olah sudah lama tidak bertemu.

۝ Isteri mohon maaf pada suami : Orang pertama yang seing menghulurkan tangan memohon maaf adalah isteri sedangkan dalam rumahtangga suami isteri sering melakukan kesilapan. Suami tidak perlulah tunggu isteri memohon maaf, anda juga perlu melakukannya agar rumahtangga lebih ceria.

۝ Isteri pembersih : Setiap orang mengimpikan sebuah rumah yang bersih dan kemas apabila berkahwin. Namun ada kalanya impian itu tidak menjadi kenyataan kerana isteri tidak suka mengemas. Jika anda tidak suka rumah bersepah, anda harus lakukan sendiri.

۝ Isteri mesti cantik : Cantik juga subjektif. Ada suami yang suka isterinya bersolek dan ada yang suka isteri tanpa solekan. Bagaimanapun suami ingin melihat isterinya kemas, kurus dan cantik. Tetapi wanita sebenarnya kurang mempunyai masa untuk melakukan itu semua kerana perlu menguruskan banyak urusan rumahtangga, Jadi kalau mahu isteri sentiasa cantik, carilah pembantu rumah. Satu lagi, suami juga jangan harap isteri sahaja perlu jaga badan, mereka juga perlu berbuat demikian.

۝ Isteri tidak boleh keluar malam : Tangkapan ini sudah tidak sesuai lagi pada zaman ini. Dulu memang tidak elok wanita keluar malam tetapi keadaan sudah berubah. Ada yang syif malam dan kini membeli belah juga lebih selesa di waktu malam. Namun isteri harus meminta izin suami.

۝ Isteri sebagai ‘orang rumah’ : Isteri selalu dilabelkan sebagai orang yang perlu duduk di rumah dan tidak boleh keluar. Pendapat ini salah kerana suami juga adalah orang rumah kerana tanggungjawab rumah tangga adalah urusan pasangan.

۝ Isteri perlu sabar : Selalunya isteri sering beralah dan bersabar dengan suami. Suami juga sering melepaskan rasa marah kepada isteri. Suami juga harus bersabar.

۝ Isteri lemah lembut : Tidak semua isteri lemah lembut tetapi itu tidak bermakna mereka tidak boleh menguruskan rumah tangga dengan baik. Jangan terkejut jika isteri juga adakalanya naik angin. Suami harus faham keadaan ini.

Tinta Si Isteri Mekanik Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign