Tinta Si Isteri Mekanik: Kes saman Eye On Malaysia 8 Februari

14 January 2010

Kes saman Eye On Malaysia 8 Februari

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 8 Februari ini untuk perbicaraan kes saman syarikat Belgium, Fitraco NV, terhadap Eye on Malaysia (EOM) Sdn Bhd dan satu lagi syarikat berhubung kegagalan syarikat pengendali roda gergasi itu menjelaskan hutang RM17 juta.

Hakim Anantham Kasinather membuat keputusan ketika kes dipanggil untuk pengurusan semalam.

Beliau memerintahkan kedua-dua pihak bertukar dokumen membabitkan afidavit dan hujahan sebelum perbicaraan bermula.

Pada 15 September lalu, Fitraco NV, memfailkan saman terhadap EOM dan MST Ad Suria Sdn Bhd selepas gagal melunaskan hutang bagi menyewa dan membawa buaian berkenaan ke Malaysia pada 2006.

MST adalah syarikat yang bertanggungjawab membawa masuk roda Eye On Malaysia pada 2006 sempena Tahun Melawat Malaysia pada 2007.

Roda itu dipindahkan dari Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur ke muara Sungai Melaka pada September 2008 dan beroperasi secara rasmi sebulan selepas itu.

Pada 26 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Fitraco NV untuk mengambil balik buaian pusing terbesar di Asia Tenggara itu daripada EOM.

Mahkamah turut membenarkan permohonan injuksi oleh Fitraco NV bagi menghalang MST daripada menjual roda gergasi berkenaan kepada EOM dan pada masa sama membenarkan Fitraco NV memasuki tapak kawasan itu serta mengambil alih pengurusan sedia ada.

Tinta Si Isteri Mekanik Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign