Tinta Si Isteri Mekanik: Kedekut...tapi ada hati berpoligami

12 February 2010

Kedekut...tapi ada hati berpoligami


'Dia kedekut sejak mula kami kahwin'

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

KUALA LUMPUR: "Dari awal perkahwinan kami, dia tidak pernah beri sebiji beras pun. Begitu juga dalam poligami, dia tidak pernah adil," kata seorang pekerja swasta ketika prosiding di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam.
SHAMSUDIN...mengaku hantar SMS.
SHAMSUDIN...mengaku hantar SMS.
Plaintif, Anida Mohd Shah, 43, berkata demikian ketika menjawab soalan peguam syarie dari Biro Bantuan Guaman, Halimahtun Saadiah Mustah dalam kes pengesahan lafaz cerai dibuat suaminya, seorang bekas juruaudit di sebuah syarikat kewangan melalui SMS, awal bulan lalu.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie Khairul Azwadi Mohamed Noor, Anida memberitahu mahkamah dia menerima SMS itu selepas mendakwa ada membuat permintaan cerai daripada suaminya, Shamsudin Mohd Nor, 55, (defendan) berikutan tidak menjalankan tanggung jawab sepanjang berkahwin.

Anida yang juga isteri kedua, berkata suaminya tidak pernah berlaku adil dalam poligami malah mendakwa suaminya itu terlalu berkira jika ingin membeli keperluan harian mereka.



"Saya hantar SMS pada suami mengatakan kalau dia tidak adil dan jalankan tanggungjawab sebagai suami, lepaskan saya," katanya.

Bagaimanapun, pada 4 Januari lalu defendan mengirimkan SMS yang berbunyi 'Kalau itu yang you (awak) mahu, I (saya) kabulkan permintaan you. I lepaskan dengan talak satu'.

Anida berkata, dia yakin SMS itu dihantar sendiri suaminya kerana sebelum itu dia pernah menyuarakan hasrat meminta dilepaskan kerana tidak tahan dengan perangai defendan.

Mereka bernikah pada 6 Ogos 2007, namun tidak kurniakan anak dan difahamkan plaintif mempunyai tiga anak hasil perkahwinan terdahulu manakala defendan mempunyai lima anak dengan isteri pertama.

Anida berkata, selepas menerima SMS itu, dia ada menelefon defendan dan lelaki itu mengaku menjatuhkan talak kepada plaintif melalui SMS.

Sementara itu, Shamsudin yang diwakili peguam syarie, Nahar Alias ketika memberi keterangan mengakui melafazkan cerai melalui telefon bimbitnya itu tanpa dipaksa sesiapa.

Menurutnya, secara keseluruhannya dia mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menaip, membaca sebelum menghantar SMS berkenaan.

"Ketika menghantar SMS saya dalam keadaan waras dan tiada sesiapa yang paksa saya untuk menceraikan isteri saya," katanya.

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan sehingga Jumaat ini untuk keputusan permohonan pengesahan lafaz cerai berkenaan.

 Apalah nak jadi. Kahwin nak, tanggungjawab taknak. Jadi saya search tentang tanggungjawab suami. Beribu-ribu artikel tentang topik ini. Antaranya dari website www.islam.gov.my yang menyatakan sebab musabab berkahwin.

"Manusia akan menghadapi berbagai kepincangan sekiranya pergaulan lelaki dan wanita tidak diatur dan disusun mengikut peraturan tertentu. Tujuan perkahwinan ialah menyusun pergaulan antara lelaki dan wanita supaya dapat mewujudkan suasana kasih sayang yang memperindahkan kehidupan. Tanpa penyusunan yang rapi di dalam pergaulan di antara lelaki dan wanita, kepincangan tidak dapat dielakkan. Kerana itu, perkahwinan disyariatkan. Dalam perkahwinan, ditentukan kewajipan-kewajipan dan peraturan-peraturan yang akan membawa kebahagiaan kepada pasangan yang mematuhinya. Sebaliknya jika peraturan-peraturan itu tidak dipatuhi, sama ada kerana kejahilan atau sengaja mengingkarinya, pasangan itu sentiasa dilanda arus yang menjadikan suasana hidup mereka tidak tenteram."

Ini pula tentang keharusan berpoligami. 

"Di antara persoalan yang meniinbulkan masalah paling kontroversi dalam urusan perkahwinan umat Islam ialah keharusan berpoligami. Ia dijadikan bahan oleh setengah golongan untuk mengecam Islam dan ramai wanita yang tidak puas hati dengan pelaksanaannya.
 

Bagi menghuraikan masalah ini, terlebih dahulu mestilah difahami apakah yang dimaksudkan dengan keharusan itu. Dari segi perundangan, harus bererti sesuatu yang tidak diseksa dan tidak diberi pahala kepada orang yang melakukannya. Ertinya, ia tidak mempunyai obligasi dari segi hukum. 

Tetapi, keharusan berpoligami ini dari segi pelaksanaannya bukan sahaja tunduk kepada hukum ini. Ia juga tertakluk kepada prinsip pembentukan keluarga yang telah diterangkan sebelum ini iaitu perasaan tanggungjawab dan perasaan-perasaan lain yang dituntut oleh Islam. 

Sungguhpun dari segi perundangan, poligami boleh dilaksanakan tetapi bukan tanpa mempunyai pertimbangan lain yang dikehendaki agama. Pertimbangan ini termasuklah apa yang dikatakan oleh ahli-ahli tasawwuf bahawa tidak dinamakan seseorang itu bertaqwa sehingga ia meninggalkan yang harus untuk menjaga dirinya dari melakukan yang haram.
 

Dengan sebab itu, jika sesuatu yang harus itu boleh mendorong kepada melakukan yang haram, maka seseorang yang bertaqwa akan meninggalkan yang harus itu untuk menjaga dirinya dari melakukan yang haram.
 

Dalam masalah poligami, seseorang itu hendaklah menjauhi sekiranya berkahwin lebih daripada satu menyebabkan ia mencuaikan hak-hak isteri dan anak-anak yang diwajibkan ke atasnya, seperti memberi nafkah dan lain-lain. Walaupun hukum mengharuskan, tetapi ia terus menanggung dosa kerana kecuaiannya menjalankan kewajipan tediadap anak-anak dan isteri-isteri. Jika perkara ini menjadi penyakit masyarakat yang menular, pemerintah boleh mengenakan peraturan-peraturan untuk mencegah kerosakan yang timbul daripadanya.
 

Penggunaan maksud keharusan berpoligami secara wajar dapat dilihat daripada contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan masyarakat Islam pertama yang dibentuk oleh baginda. Dengan penggunaan yang wajar ini, poligami bukan menjadi masalah kepada masyarakat, tetapi mempakan cara bagi menyelesaikan masalah-masalah yang wujud dalam masyarakat iaitu pembelaan tediadap anak-anak yatim dan janda-janda yang menderita kerana kehilangan atau kematian suami.
 
Pada masa sekarang masalah seperti di atas masih lagi wujud dan tetap akan wujud selagi adanya manusia. Kerana itu poligami tetap berfungsi memberi kebaikan kepada masyarakat jika keharusan ini tidak disalahgunakan. Tetapi sekiranya poligami disalahgunakan dan dilakukan semata-mata untuk memuaskan nafsu dan menempah dosa, ia akan menjadi masalah dan langkah-langkah mengawalnya hendaklah dilakukan oleh pemerintah dengan mengenakan peraturan-peraturan tertentu untuk mengelak kerosakan."

Renung-renungkan.



Bye,

Tinta Si Isteri Mekanik Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign