Tinta Si Isteri Mekanik: Siapa Salah?

19 February 2010

Siapa Salah?

Sudah takdir, tetapi mengapa masih cuai dan ambil mudah?

Memang segalanya Allah yang tentukan, rezeki, jodoh, ajal dan maut tetapi kita mesti berusaha barulah bertawakal dan berdoa.

Macam rezeki, memang ada pepatah yang kata ' rezeki datang bergolek' tetapi kita kena bergolek dulu baru rezeki nak mai. Contoh paling mudah, makan. Kalau tak disuap ke mulut, macam mana nak makan? Kena ada usaha iaitu menyuap makanan, baru rezeki datang iaitu rezeki makanan dan rasa kenyang.

Entahla, saya rasa sakit bila baca berita sebegini.

myMetro

45 minit cari anak hilang

Oleh Mohamad Yatim Latip
am@hmetro.com.my
2010/02/19

“Malah, malam semalam (kelmarin) saya turut minta isteri menidurkannya bersebelahan saya iaitu di ruang tengah antara kami berdua sedangkan kebiasaannya sebelum ini, dia tidur sebelah isteri.”
Demikian luahan peniaga kraftangan, Borhan Rabu, 42, yang kehilangan anak bongsunya, Muhammad Haikal Mustakim berusia 19 bulan buat selama-lamanya apabila mangsa lemas selepas terjatuh ke dalam baldi di bilik air rumahnya, kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

Borhan berkata, sebelum dimaklumkan mengenai kehilangan anaknya, dia berada di sebuah kedai di Jalan Kota Laksamana berhampiran pusat bandar raya Melaka, untuk membeli barangan bagi menjalankan perniagaan.

Menurutnya, ketika berurusan di kedai itu, dia menerima panggilan telefon daripada isterinya, Misnah Hamzah, 41, kira-kira jam 12.45 tengah hari yang bertanya sama ada Haikal mengikutinya tetapi dia menafikan.

“Sebaik mendapati isteri dalam keadaan cemas mencari anak bongsu di rumah, saya yang tak sedap hati bergegas pulang untuk sama-sama mencari dengan bantuan ahli keluarga lain.

“Apabila pencarian kami selama 45 minit gagal, saya terus ke Balai Polis Kandang untuk membuat laporan tapi sejurus kemudian menerima panggilan telefon daripada anak saudara memaklumkan dia sudah ditemui.

“Saya dimaklumkan Haikal ditemui isteri dalam bilik air dalam keadaan tertonggeng dengan kaki ke atas dalam sebuah baldi mengandungi air sedalam 12.7 sentimeter, sekali gus menyebabkan jantung saya berdegup kencang akibat terkejut,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Borhan berkata, sejurus menerima berita sedih itu, dia terus pulang dan bergegas ke klinik kesihatan berhampiran apabila dimaklumkan anak lelakinya sudah dibawa ke sana dengan sebuah van milik orang awam yang lalu berhampiran rumahnya.

Menurutnya, kematian anak lelakinya terlalu menyedihkan dan dia langsung tidak menyangka kejadian seumpama itu boleh menimpa keluarganya.

“Arwah memang biasa bermain-main keluar dan masuk menerusi pintu depan rumah ketika isteri membuat kuih di bahagian belakang rumah, tetapi hari ini (semalam) kami tak sangka perkara berkenaan berlaku.

“Luluh hati saya apabila menerima berita sedih ini kerana arwah satu-satunya anak lelaki kami tapi tetap reda kerana Allah lebih menyayanginya kerana selama ini arwah dipinjamkan sementara saja kepada kami sekeluarga,” katanya sambil menahan hiba.

Sementara itu, Misnah berkata, sebelum kejadian, dia sedang membuat kuih di belakang rumah tetapi segera mencari anaknya selepas mendapati dia tidak kelihatan bagi tempoh agak lama sekali gus menyebabkan dia berasa tidak sedap hati.

Menurutnya, dia bersama ahli keluarga mencari dalam rumah termasuk menjenguk ke bilik tetapi tidak nampak apa-apa yang mencurigakan.

“Dalam tempoh 45 minit mencarinya, keadaan memang begitu mencemaskan sehingga timbul perasaan mungkin anak saya diculik sehinggalah saya memeriksa semula bilik air dan menemui dia dalam keadaan tertonggeng dalam baldi berisi air.

“Ketika ditemui, tubuh Haikal sudah kebiru-biruan dan dipercayai dia sudah lemas kira-kira setengah jam sebelum disedari hilang.

“Saya sukar melihat arwah yang tertonggeng dalam baldi mengandungi air berkenaan kerana kepalanya berada di bawah malah kedua-dua kakinya pun tidak dapat dilihat dari luar,” katanya.

Jenazah Muhammad Haikal Mustakim dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Bukit Tembakau, Umbai, Merlimau, dekat sini, selepas solat Maghrib semalam.
 
Bye,

Tinta Si Isteri Mekanik Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign