Tinta Si Isteri Mekanik: 20 kecederaan

15 June 2010

20 kecederaan


SHAH ALAM: Pakar forensik memberitahu Mahkamah Tinggi, semalam, kesan calar berbentuk ‘U’ pada muka dan badan mangsa dera, Syafiah Humaira Sahari, 4, mungkin berpunca daripada tapak kasut bola milik pemandu teksi yang didakwa membunuh kanak-kanak itu.


Dr Shahidan Md Noor, 51, yang bertugas di Hospital Sungai Buloh berkata, berdasarkan bedah siasat terhadap mangsa di Hospital Kuala Kubu Baru pada 25 Februari lalu mendapati kecederaan mangsa berpunca dari impak akibat hentaman objek tumpul. Dia berkata demikian ketika memberi keterangan dalam kes Mohd Fazli Azri Jamil, 28, yang dituduh membunuh Syafiah Humaira di padang bola sepak Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah Batu 30, dekat Batang Kali, jam 6.30 petang, 25 Februari lalu. 

Tertuduh yang juga teman lelaki kepada ibu mangsa didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani, Hanim Mohd Rashid dan Zureen Elina Mohd Dom. Tertuduh diwakili peguam bela, Gurbachan Singh. 

IDHAM: Adakah kasut but bola sepak ini boleh diklasifikasi sebagai objek tumpul? 
DR SHAHIDAN: Ya 

IDHAM: Jika seseorang yang memakai kasut seperti ini melakukan tendangan, memijak dan menyepak seseorang. Adakah ia boleh mendatangkan kecederaan seperti dalam gambar-gambar tadi? 
DR SHAHIDAN: Saya rasa boleh.




IDHAM: Jika seseorang itu menggunakan kasut ini untuk memijak perut seseorang, berapa kali ia perlu dilakukan untuk mendatangkan kecederaan? 
DR SHAHIDAN: Sekali pun boleh jika kena tempat dan kekuatan tertentu (yang digunakan untuk memijak), boleh sebab kesan lebam. 

IDHAM: Merujuk kepada gambar (bedah siasat), sekiranya kasut itu digunakan, adakah ia mendatangkan kecederaan berbentuk U kepada badan atau muka seseorang? 

Pada peringkat ini, Dr Shahidan meminta benang dan pembaris daripada kaki tangan mahkamah untuk mengukur tapak kasut but itu. Bagaimanapun, dia kemudian terpaksa menggunakan tali pengikat fail untuk tujuan itu. 

DR SHAHIDAN: Daripada ukur lilit lima sentimeter (sm), tebal satu sm dan bahagian tepi iaitu 0.1 sm, saya boleh cadangkan tapak kasut inilah yang mungkin digunakan terhadap mangsa. Saya berpendapat, ia mungkin menyebabkan kecederaan berbentuk ‘U’ pada mangsa.  

Terdahulu, Dr Shahidan berkata, bedah siasat mendapati 20 kecederaan luaran meliputi lebam dan calar pelbagai saiz pada badan mangsa.




Katanya, bahagian dalaman mangsa pula menunjukkan pendarahan pada kulit kepala, manakala otak kanak-kanak itu bengkak. Menurutnya, hati kanak-kanak malang itu pula menunjukkan kesan lebam selain ada pendarahan di sekeliling buah pinggang. 

Justeru, katanya, merumuskan semua kecederaan dalam dan luaran itu adalah kecederaan baru yang berlaku sekurang-kurangnya dalam 48 jam terakhir sebelum bedah siasat. 

Dr Shahidan berkata, mengambil kira jenis semua kecederaan luaran dan dalaman yang agak teruk, beliau berpendapat bahawa ia bukanlah berpunca daripada kemalangan, sebaliknya tindakan disengajakan. 

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bersambung hari ini.



p/s: Teruknya kecederaan anak ini. Syafia, auntie doakan anakanda tenang di samping-Nya. Biarlah mereka yang melakukannya dijatuhi hukuman mandatori. Termasuk juga bondamu, yang memang bersubahat dalam kes ini. 

Bye,

Tinta Si Isteri Mekanik Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign