Tinta Si Isteri Mekanik: Kenapa Hijrah?

19 November 2013

Kenapa Hijrah?

Teks : Saudah Salleh

Apabila membaca kembali entri-entri saya sebelum ini, saya rasakan ianya tiada hala tujuan.
Banyaknya menulis kerana sebagai kenangan.  Sebagai ingatan. Resepi. Restoran yang dikunjungi. Hari Raya.

Tiada fokus tertentu. Hanya sekadar menulis.
Hijrah ini bermula apabila melihat rakan-rakan blogger dapat menjana sesuatu dari tulisan mereka. Wang, pengalaman pertama, rakan-rakan dan sebagainya.

Sebenarnya, saya terjumpa blog-blog yang mempromosikan kelas penulisan. Jadi saya berminat untuk menyertainya.

Niat saya kini telah berubah. Melalui blog, saya akan berkongsi beberapa perkara.

Yang pertama adalah berkaitan pengalaman hidup. Terutama peristiwa yang bersejarah.

Yang kedua, saya kongsikan berkaitan kereta.  Berkenaan penyelenggaraan 'nadi' pergerakan kita. Di bengkel kami di Shah Alam, banyak kes 'kebocoran wang' adalah disebabkan penyelenggaraan kereta yang tidak mengikut jadual. Ada juga komen yang kami terima, pemilik kereta tertipu dengan bengkel lain. Jadi saya tidak mahu pemandu dan pemilik kereta mengalami situasi tersadai di tengah jalan.

Yang ketiga, saya kongsikan kata-kata yang memberi saya manfaat agar rakan-rakan pembaca juga mendapat manfaatnya. Ianya lebih popular dengan nama 'Quotes'.

Selebihnya, saya kongsikan artikel-artikel, trivia peristiwa, resepi yang telah saya cuba dan apa jua yang menarik untuk dibaca.

Semoga penghijrahan paradigma saya dalam bidang penulisan ini akan membantu ramai orang serta sedikit sebanyak memberikan manfaat kepada pembaca blog ini.

Tinta Si Isteri Mekanik Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign