Tinta Si Isteri Mekanik: November 2013

27 November 2013

Rojak Bellamy

Teks : Saudah Salleh

Minggu lepas, selepas mesyuarat, bos saya mengajak kami mencuba Rojak Sotong di Jalan Bellamy. Menariknya, semua pun tak pernah makan Rojak tersebut. Hanya mendengar khabar kesedapannya dari rakan-rakan.

Lokasi warung rojak ini terletak di Jalan Bellamy dalam kawasan PENAMA, berhampiran Ikan bakar Bellamy.  Tak susah mencarinya. Cuma taip Jalan Bellamy ke dalam Waze atau GPS.

Kawasan kedai tersebut sangat bersih dan selesa, dengan ruang makannya yang luas. Pesanan diambil dengan cepat dan dihantar dengan tepat.

Pilihan menu pula banyak dan murah memandangkan lokasinya di tengah-tengah kota metropolitan ini.

Untuk rojak hanya RM3.50. Rojak mee pula kalau tak salah RM4.00. Cendol pun ada di sini.

Tapi saya syorkan untuk memesan Rojak sotong yang hanya berharga RM5.00 sahaja. Murah bukan?




Biasanya, penentu kesedapan rojak adalah pada kuahnya. Kuah Rojak Bellamy ini sangat sedap, rasa pedas dan sedikit manis ditambah dengan sambal sotong mengenakkan lagi kuahnya. Tidak terlalu pedas bagi membolehkan anak-anak kita turut sama menikmati juadah ini.


Satu lagi keistimewaan warung ini adalah waktu perniagaan tujuh hari seminggu. Dari jam 7.00 pagi hingga 5.30 petang bagi hari Isnin hingga Sabtu, manakala Ahad dibuka dari jam 7.00 pagi hingga 3.00 petang.

Cubalah. Dengan menu 1Malaysia dan harga yang murah, berbaloi-baloi.

26 November 2013

Tersadai di tepi jalan

Teks : Saudah Salleh

Semasa dalam perjalanan ke pejabat, saya terlihat sebuah kereta berhenti di tepi lebuhraya. Terpandang si bapa sedang menelek bahagian depan kereta, manakala si ibu mengelek anak berada di luar kereta.

Kasihan melihat mereka.  Berpanas berpayung kerana kereta rosak.

Kereta rosak, banyak sebabnya. Antara puncanya adalah tidak menyelenggara kereta mengikut jadual.

Asasnya, jalan terbaik adalah selenggara kereta setiap 5, 000 kilometer. Seboleh mungkin elakkan memandu kereta jika tempoh servis  melebihi 5,000km.

Minyak enjin berfungsi sebagai pelincir kepada enjin kereta. Oleh kerana ia bertugas setiap kali kita menggunakan kenderaan,  minyak enjin akan 'kotor'apabila melincirkan enjin.
Apabila kita menangguhkan penukaran minyak enjin, enjin kita semakin 'kotor' dan minyak enjin menjadi berat.

Seperti manusia, semakin berat semakin bahaya. Membuatkan kereta kita berat dan tidak 'pick-up' semasa memecut. Tak syok lah kan pandu Mercedes tapi kelajuan hanya 70km/j.

Makin berat minyak enjin, makin membahayakan sistem enjin kereta. Timing belt boleh putus, lepas tu enjin kena overhaul yang mana kita kena bayar beribu-ribu pulak. Baik beli LV kan.

Apa yang perlu kita pemandu tahu apabila kita hantar servis? 

Yang pertama, minyak enjin samada biasa, semi or fully synthetic.  Minyak biasa untuk kereta usianya lebih 5 tahun. Semi dengan fully synthetic untuk kereta baru.

Kedua, oil filter. Ambil yang original.

Ketiga, upah. Di antara RM10.00 hingga RM50, bergantung kepada bengkel. Jika ke Pusat servis Honda atau Perodua, harganya berbeza ya.

Ini sahaja yang dikatakan servis kenderaan. Mudah bukan?

20 November 2013

Saya Mohon Maaf

Saya sedang mengemaskini blog dan label saya.

Adakalanya saya cuai, terus menekan butang 'publish'. Maka beberapa entri telah dijadualkan pada hari ini.

Nampak macam banyak entri kan? Tetapi sebenarnya salah sendiri.

Maaf kan saya.

Bye,

HotPindang Kitchen, Seksyen 10 Shah Alam

Teks : Saudah Salleh

Saya sangat gemarkan asam pedas tetapi masih belum menguasai cara memasak.
Pada asasnya, resepi semuanya sama, hanya perlu pandai mengimbangi rasa masam dari asam jawa dan rasa pedas dari cili.

Kerapkali, asam pedas saya cair. Ini kerana air asam saya terlampau banyak.
Bila juadah tidak menepati rasa, saya rasa malas nak masak asam pedas lagi. Tapi, keinginan tetap ada.

Jadi bila berjumpa dengan juadah yang menepati citarasa yang berada di Shah Alam, punyalah seronok.
Lebih-lebih lagi apabila pemilik restoran adalah kenalan saya. Lagi seronok kami berurusan dan memberikan sokongan kepada mereka.

Sebelum ini saya telah mencuba Asam Pedas Ikan Senangin. Maka kali ini saya memesan Asam Pedas Ikan Pari. Set ini didatangkan bersama dengan semangkuk nasi putih, ulaman timun, lobak merah dan salad, telur masin dan keropok ikan.


Minuman di dalam gambar ini dinamakan Jus Bermadu yang mengandungi serai, daun pudina dan madu. Manakala satu lagi minuman adalah Asam Boi Limau.

Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut senang hati.

Alamat HotPindang Kitchen:
11 & 13 Jalan Cheong Sam 10/11
Seksyen 10
40000 Shah Alam

19 November 2013

Kenapa Hijrah?

Teks : Saudah Salleh

Apabila membaca kembali entri-entri saya sebelum ini, saya rasakan ianya tiada hala tujuan.
Banyaknya menulis kerana sebagai kenangan.  Sebagai ingatan. Resepi. Restoran yang dikunjungi. Hari Raya.

Tiada fokus tertentu. Hanya sekadar menulis.
Hijrah ini bermula apabila melihat rakan-rakan blogger dapat menjana sesuatu dari tulisan mereka. Wang, pengalaman pertama, rakan-rakan dan sebagainya.

Sebenarnya, saya terjumpa blog-blog yang mempromosikan kelas penulisan. Jadi saya berminat untuk menyertainya.

Niat saya kini telah berubah. Melalui blog, saya akan berkongsi beberapa perkara.

Yang pertama adalah berkaitan pengalaman hidup. Terutama peristiwa yang bersejarah.

Yang kedua, saya kongsikan berkaitan kereta.  Berkenaan penyelenggaraan 'nadi' pergerakan kita. Di bengkel kami di Shah Alam, banyak kes 'kebocoran wang' adalah disebabkan penyelenggaraan kereta yang tidak mengikut jadual. Ada juga komen yang kami terima, pemilik kereta tertipu dengan bengkel lain. Jadi saya tidak mahu pemandu dan pemilik kereta mengalami situasi tersadai di tengah jalan.

Yang ketiga, saya kongsikan kata-kata yang memberi saya manfaat agar rakan-rakan pembaca juga mendapat manfaatnya. Ianya lebih popular dengan nama 'Quotes'.

Selebihnya, saya kongsikan artikel-artikel, trivia peristiwa, resepi yang telah saya cuba dan apa jua yang menarik untuk dibaca.

Semoga penghijrahan paradigma saya dalam bidang penulisan ini akan membantu ramai orang serta sedikit sebanyak memberikan manfaat kepada pembaca blog ini.

16 November 2013

Hijrah

Teks: Saudah Salleh
Saya mula menulis blog setelah teruja membaca blog rakan-rakan. Pada pendapat saya, blog adalah sebenarnya diari, cuma ianya dalam bentuk elektronik.

Mengapa saya berfikiran sedemikian? Banyak blog yang saya baca berkisar tentang keluarga, berkaitan perkara harian, cerita tentang pengalaman bercuti, restoran baru, resepi dan sebagainya.

Apabila saya membaca kembali entri-entri awal, oh sungguh 'muda' karangan saya. Sungguh tidak matang kerana ianya seperti karangan pelajar sekolah sahaja. Tiada bermanfaat kecuali untuk saya.

Semakin lama berblog, semakin tiada arah tujuan selain sebagai sebagai kenangan sahaja.
Saya terfikir, saya mesti buat sesuatu.

Dan saya lakukan dengan menukar tajuk blog. Ini perkara kedua yang saya buat.
Perkara pertama? Nantikan perkongsian saya seterusnya.

Tinta Si Isteri Mekanik Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign