Tinta Si Isteri Mekanik: December 2013

23 December 2013

Shah Alam Berselawat

Teks : Saudah Salleh

Alhamdulillah.  Saya dan suami telah dipilih oleh Allah swt untuk sama-sama berselawat dengan Tuan Habib Syeikh Abdul Kadir Assegaf. Seramai lebih 15,000 orang telah hadir ke Stadium Malawati Shah Alam.




Setiap kali ke Majlis Selawat, auranya terasa berbeza dan seperti baru pertama kali menghadirinya.

Saya suka ke majlis seperti ini kerana inilah peluang terbaik untuk berdoa. Taman syurga.






Terima kasih Ya Allah. Inilah konsert penutup bagi 2013.

Terima kasih kepada Richwell yang menganjurkan majlis sebegini.

Terima kasih kepada semua crew yang berkhidmat dengan cemerlang.

Semoga kami dapat hadir ke setiap Majlis Berselawat pada tahun 2014. Insyaallah.

21 December 2013

Seminar Penyusuan Ibu oleh Puan Suraya Ali

20 December 2013

Seminar Tauke Borong Indonesia

17 December 2013

Balik kampung kerana kecemasan!

Hari Sabtu yang lepas, saya peruntukkan untuk menggembirakan hati bonda saya. Beliau mengajak ke KL, katanya ingin membeli-belah kain, brooch dan lain-lain. 

Namun, kesihatan beliau kurang memuaskan maka perancangan ditukar kepada membeli-belah pokok-pokok di nurseri di kawasan Sungai Buloh.

Kali ini katanya ingin membeli pokok orkid dan tanah sahaja. Lainnya banyak nak tengok-tengok aje.

Sampai ke kedai orkid yang biasa kami kunjungi, punyalah seronok bonda saya melihat banyak bunga orkid sedang berkembang. Harga pula murah kerana biasa berurusan di sini.

Kemudian, bergerak ke nurseri bunga yang terletak di Jalan Subang-Sungai Buloh. Lagilah seronok.  Dalam pada nak tengok-tengok aje, membeli jugalah bunga bernilai RM50.00. Murah sangat sebab dapat sepasu ros merah RM15.00, sepasu ros merah RM13.00, pokok puding 3 pokok RM10.00 dan pokok bunga cantik 3 pokok RM10.00 serta tanah 2 bag RM2.00.

Jam 1.00 tengahari, saya menerima panggilan dari suami. Katanya bapak sakit dan dimasukkan ke hospital. Bila ditanya apa perancangan,  beliau kata belum ada lagi. 10 minitt kemudian, sah kami pulang ke Muar.

Tetapi bertolak malam kerana beliau perlu menyelesaikan janji beliau kepada pelanggan. Kereta kami juga perlu ditukar tayar belakang dan dicuci agar perjalanan kami mudah dan selamat.

Alhamdulillah,  perjalanan lancar dan kami tiba di Muar pada jam 12.00 tengah malam.

Alhamdulillah juga kerana esoknya, bapak telah didiscaj dari hospital dan kami dapat meluangkan masa bersama beliau sebelum pulang ke sarang pada hari Isnin.


16 December 2013

Buruk Bersepah

Teks: Saudah Salleh

Saya suka almari yang berlaci. Lagi banyak lagi suka.

Sebabnya? Dapat menyembunyikan kesemakan dan ketidaksusunan barangan dalam laci. Sepah? Tutup laci habis cerita.

Saya ada satu laci khusus untuk menyimpan kain di dapur. Kain lap tangan dan kain pengesat atau lebih dikenali sebagai kain buruk.

Bila buka sahaja laci tersebut, sakit mata kerana bersepah. Sakit hati sebab tak sempat mengemas.

Tadi saya berkesempatan untuk mengemas laci kain. Bila keluarkan dari almari, Astaghfirullah.  Banyaknya kain dalam laci. Macam-macam benda rupanya dalam laci kain. Ada bag kitar semula, ada alatan pembaikan seperti playar dan  screwdrivers dan kain lap bercampur aduk.



Untuk proses pembersihan, saya keluarkan semua benda dari dalam laci.

Asingkan mengikut kategori. Saya longgokkan kain lap tangan di satu bahagian. Asingkan kain buruk dan sisihkan dan buang kain buruk yang buruk.


Kemudian saya susun kotak kasut dalam laci. Saya gunakan juga tutup kasut. Sebabnya, kotak tak cukup.
Lipat semua kain mengikut saiz kotak tersebut. Untuk mudah, jadikan satu kain sebagai 'guide'.



Mulakan menyusun semua kain ke dalam laci mengikut kategori. Susun sampai muat semua kain dalam laci tersebut.

Peralatan bertukang tu saya masukkan dalam kotak yang tinggi. Potong ikut ketinggian laci. Kalau rajin, balutkan kotak dengan pembalut hadiah.


Senang hati, jimat masa dan senyum terukir.

12 December 2013

Kereta berbau busuk

Teks : Saudah Salleh

Dahulu, saya membeli barang basah apabila balik dari pejabat. Senang sebab tak perlu rancang menu dari awal.

Ini kerana saya pergi dan pulang dengan suami.  Mudahlah nak singgah menyinggah.

Tetapi apabila suami mempunyai perniagaan, saya memandu berseorangan dan suamu tidak benarkan saya menyinggah. Untuk keselamatan katanya.

Jadi, saya hanya membeli barang basah pada hari Jumaat sahaja di pasar malam berhampiran pejabat.
Barangan basah seperti ikan, udang, sotong dan sayur-sayuran sangat segar di sini. Harganya masih munasabah dan boleh diterima.

Tetapi, saya selalu kena marah dengan suami sebab selalu terlupa membawa baldi untuk letakkan barang belian. Kenapa perlukan baldi?

Sebabnya air dari barang basah akan tumpah ke karpet kereta dan menyebabkan kereta berbau busuk!
Hampir semingggulah nak hilangkan baunya, itupun tak hilang betul. Hanya harapkan pewangi kereta sahaja melindungi bau tersebut.

Semasa menelek barangan di Daiso, terjumpalah penyerap bau ini. Car seat deodoriser. Murah aje hanya RM5.00. Maka saya beli dan letakkan di bawah kerusi pemandu.


Lega hati, bau hilang, poket senang.

11 December 2013

11 Disember 2013

Teks : Saudah Salleh

Cantik tersusun tarikh hari ini.
11.12.13.

Apa yang menarik pada tarikh ini pada saya?

Yang pertama adalah saya bercuti. Gembira.

Yang kedua, Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.  Daulat Tuanku.

Yang ketiga, suami pun cuti. Berbanding tahun lepas, perniagaan dibuka pada hari ini. Memandangkan perniagaan suami di Selangor dan sebagai tanda penghargaan kepada staf, maka hari ini bengkel tutup.

Yang keempat, hari ini kami akan ke Banting. Menziarahi anakanda saudara yang memerlukan sokongan moral dan membuat perancangan baru untuk Semester 2, Matrikulasi Banting.

Yang kelima, hari ini mencuba produk baru.

Yang keenam, hantar kereta pelanggan ke rumah mereka dan mengambil satu kereta pelanggan.

Penuhnya jadual. Alhamdulillah.

04 December 2013

Kelas 'Basic Make-Up' Bersama Hazwani Themakeuplover

Teks : Saudah Salleh

Memang sifat wanita sukakan kecantikan. Baju cantik, rumah bersih, tudung lawa.

Saya juga sukakan kecantikan. Tambah lagi kalau make-up, lagi rasa cantik. Rasa, kalau pakai make-up bertambah lawa. Bertambah yakin. Hihi.

Nak lawa make-up, tapi tak pandai.  Takde ilmu make-up. Main bantai je sapu foundation. Lipstick merah mata hijau. Hahaha sangat tak cantik. Bila macam tu, tak nak pakai make-up sebab tak lawa. Padahal tak nak belajar.

Jadinya, apabila terlihat tawaran yang menarik dan semestinya murah, maka saya terus mendaftarkan diri untuk kelas make-up ini.

Hanya RM100 sahaja belajar dengan Wani. 3 jam lebih rasa macam tak cukup. Tapi kena jelas, make-up ni, bila dah belajar, kena sentiasa berlatih. Setiap hari. Sebab kena mahirkan betul-betul teknik yang diajar. Nak tepek foundation pun ada caranya. Awal-awal ni belum mahir, ambil masa 3 minit sebab nak pastikan rata. Kalau setiap hari kita pakai foundation, minggu ke-3 pasti dah boleh dikurangkan masanya kepada 1 minit.

Hasil belajar. Natural sahaja. Hanya mata 'smokey eyes'

Paling menggigil bila kena praktikal adalah bahagian kening. Sebab saya ada pengalaman, make-up di kedai,  tebalnya kening saya dilukis. Spoil betul. Selepas kejadian itu, memang saya tak sentuh langsung kening saya semasa make-up. Tapi sebenarnya,  kening lah yang menyerlahkan dan membentuk muka kita. Sebab itu, belajar make-up dengan pakar. Dengan guru make-up yang betul.

Membazir? Boleh tengok youtube? Memang betul, boleh.  Saya memang dah buat. Belajar dengan youtube. Tapi tak jalan. Tak pandai juga. Pulak tu, saya memang kena talaqqi berdepan dengan guru. Lebih cepat faham. Teknik make-up ni, setakat tengok je, tak boleh. Sebab kita cuma nampak je, kita tak rasa. Kita tak rasa tekanan yang macam mana akan buatkan foundation kita tahan lama. Kita tak rasa eyeliner tu dibentuk. Kita tak rasa macam mana loose powder diaplikasikan. Jadi macam mana nak hasilkan make-up yang cantik kan?

Ringkas dan penuh dengan tips-tips. Tips memilih berus, tips warna, tips memilih make-up murah dan mahal. Semuanya Wani ada kongsikan.

Untuk yang berminat, selalulah tengok blog Wani iaitu di themakeuplover.blogspot.com. Kelas pertama dah selesai. Nantikan kelas seterusnya.



Belum ada set alat solek yang lengkap. Tetapi mengaplikasikan teknik foundation dan eyeliner. Saya hanya gunakan Foundation SilkyGirl dan Liquid Eyeliner SilkyGirl. Kening tak bentuk sebab Eyebrow Pencil belum beli. Lipstick belum pakai lagi. Nak tunjukkan make-up yang natural, seolah-olah saya tidak memakai sebarang make-up.



01 December 2013

Kemas kereta dalam masa 5 minit!

Teks : Saudah Salleh
Gambar : Google

Kereta kita ni boleh diibaratkan sebagai kawan baik kita. Iyalah, dia yang bawa kita ke mana-mana yang kita dan keluarga kita suka.

Pergi kerja, hantar anak ke sekolah, singgah ke kedai, membeli-belah di hujung minggu. Memang seronoklah bila ada kereta.

Tapi, kalau dah nama bawa setiap hari, kebarangkian untuk bersepah adalah tinggi, lebih-lebih lagi kalau anak-anak suka makan dalam kereta. Ataupun kalau kita selalu tinggalkan beberapa pasang kasut. Ataupun kita tinggalkan fail-fail mesyuarat atas kerusi penumpang.


Bila kita biarkan keadaan kereta bersepah, lama-kelamaan kita akan malas untuk mengemasnya. Bayangkan jika satu hari, bos nak tumpang kereta kita ke tempat mesyuarat. Atau kawan-kawan ajak keluar makan dengan tumpang kereta kita. Takkan kita nak biarkan mereka melihat kereta yang bersepah kan?

Ada 3 perkara yang boleh kita buat setiap hari untuk mengemas kereta, iaitu dalam masa 5 minit sahaja! 

Yang pertama, sediakan BAKUL untuk menyimpan permainan dan barang-barang milik anak-anak khusus untuk kereta. Iyalah, biasanya untuk mengelakkan anak-anak bosan dalam perjalanan, kita biasa bekalkan mereka dengan alatan permainan, atau sediakan buku mewarna dan pensel warna. Jadi untuk elakkan kereta bersepah, siapkan bakul dan masukkan semua alatan tersebut ke dalam bakul tersebut. Kita boleh simpan bakul tersebut ke dalam bonet atau letakkan di bahagian kaki di kerusi belakang.

Bakul boleh dalam bentuk segi empat atau berbentuk poket. Contohnya seperti di bawah.



Yang kedua, BUANG sampah dalam kereta kita. Setiap hari. Waktu yang sesuai dalah pada waktu petang. Sebab kita tidak mengejar masa.Kutip semua plastik makanan minuman serta sisa makanan yang berterabur. Kalau ada penyedut hampagas mini, boleh digunakan pada masa ini. Mesti dibuat setiap hari terutamanya jika anak-anak suka makan dan minum dalam kereta. 

Yang ketiga, BERSIH kan kereta kita setiap hari.  Keluarkan pelapik kaki dan buangkan pasir serta habuk yang terlekat dengan cara mengibasnya. Lap 'dashboard' dengan tisu basah agar habuk terus melekat kepada tisu tersebut. Lap steering, brek tangan serta semua permukaan yang kita dan anak-anak sentuh. Lap cermin yang ada bekas tangan anak-anak. Selain dari tisu lembap, boleh juga gunakan Sabun Cecair dan Kain. Sediakan BAKUL untuk alatan mengemas dan simpan di bahagian bonet kereta. BASUH kereta kita seminggu sekali untuk mengekalkan kebersihan luarannya.

Apabila kita membersihkan kereta setiap hari, hanya 5 minit sahaja masa yang diperlukan untuk mengekalkan kebersihan kereta.

Tinta Si Isteri Mekanik Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign