Tinta Si Isteri Mekanik: JJCM : Murtabak Singapore, Tanjong Agas, Muar

28 March 2014

JJCM : Murtabak Singapore, Tanjong Agas, Muar

Teks : Saudah Salleh

Muar, Johor Darul Takzim. Antara syurga makanan di Malaysia. Antara menu terkenal adalah Asam Pedas, Mee Bandung Muar dan Murtabak Singapore.

Walaupun saya dilahirkan di Johor namun saya membesar di Petaling Jaya sementelah ayahanda dan bonda menjemput rezeki di sana. Balik Johor hanya sekadar ziarah menziarahi semasa Hari Raya dan Majlis Perkahwinan serta kenduri kendara.

Di Kuala Lumpur kota metropolitan ini, memang banyak menu-menu Johor ini dijual, namun untuk mendapatkan rasa yang original memang susah. Kata aje Mee Bandung, tapi bila rasa, alamak gagal.

Rezeki saya pulak dapat bersuamikan orang Muo hihi. Tapi orang Jawa. Suka pulak masakan emak. Jadi awal-awal perkahwinan, bila balik Muar, memang tak ke mana la. Kalau keluar pun, akan balik dan makan masakan emak. Terbukti kan masakan emak yang paling sedap. Nak-nak lagi lauk yang hampir pasti ada kalau kami balik adalah Sambal Goreng Jawa style. Fuhhh sedapnya.

Tapi, suami saya seorang yang adventurous, yang suka mencuba sesuatu yang baru dengan syarat kita aturkan. Oklah kan..

Jadi, baru-baru ini, berkebetulan kami pulang ke KL pada waktu siang, jadi dapatlah singgah ke Restoran Murtabak Singapore yang terletak bersebelahan dengan Stesen Petronas Tanjung Agas dan Sekolah Sains Muar.

Saya tahu hanya di sini sahaja yang tawarkan Murtabak Singapore, kalau ada teman yang tahu mana yang lebih sedap, maklumkan pada saya ya?

Okay, ini restorannya. Ringkas sahaja.



Ini pula salah satu bahan Murtabak. Daging cincang yang telah dimasak dengan rempah rahsia. Telur. Minyak masak. 



Ini yang sedang dimasak. Rupanya masa memasak Murtabak ini yang bersaiz kecil adalah dalam 5 minit. Mula-mula tebar roti. Pecahkan telur dalam roti, macam kita buat roti telur.

Kemudian, dimasak sebentar. Dipecahkan telur lagi dan diratakan daging. Sesudah telur masak, roti diterbalikkan. Dan proses sama diulang semula.

Kalau order yang special, lagi lama masaknya sebab lagi tebal dan berlapis-lapis. Kami singgah membeli sekitar jam 12.30 tengahari. Masih lengang kerana musim cuti sekolah ni, banyak majlis perkahwinan. Katanya, kalau datang dalam jam 3.00pm tu, kena tunggu SATU JAM! *Pengsan lapar.



Senarai harga yang saya rasa berpatutan.


Abang Chef untuk restoran ini. Nampak macam garang tetapi sebenarnya peramah. Beliau bercerita, restoran ini sudah melebihi 20 tahun, sebesar anak pemilik. Wow, lamanya.


Kepada yang ingin mencuba, ini alamatnya.

Murtabak Singapura
Restoran Murtabak JD
No. 1-4, Batu 1, Tanjung Agas,
84000 Ledang, Johor.
Koordinat GPS : N 02°03.548′ E 102°33.567′


Katanya lagi, ada cawangan di Johor Bahru, tapi saya tak perasan di mana. Oh kami tapau aje sebab dah makan Mee Bandung Muar sebelum itu.

Nanti saya blog kan tentang Mee Bandung pula ya.

Semoga bermanfaat.

p/s : Banyak kisah makanan pulak ya. Nak buat macam mana, kami memang suka makan. Hihi.

Tinta Si Isteri Mekanik Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign