Tinta Si Isteri Mekanik: June 2014

28 June 2014

Cara Kedua Penat Sekali je, Senang Berkali-kali Semasa Ramadhan

Teks : Saudah Salleh

Saya terlupa nak kongsi cara kedua untuk Ramadhan ini. Bila baca kembali entri saya, ingat nak masukkan terus, tapi macam dah panjang sangat pula.

Okay, cara pertama saya dah terangkan di sini

Ini cara kedua. Yang ni sesuai untuk yang rajin. Serta keluarga kecil, berdua ke. Sekali makan 2-3 ketul.

Ayam 1 ekor. Bersihkan kemudian asingkan bahagian dada dan kepak serta drumstick. 

Bahagian dada boleh dimasak sup atau goreng kunyit. Bahagian kepak kita perapkan guna resepi kepak bakar. Drumstick kita masak kari. Thigh kita masak lemak. Organ sesiap perap untuk goreng atau kumpul jadi banyak (2-3 ekor ayam), pastu goreng kunyit.

Dah siap 5 hari hidangan sahur. 

Kalau untuk berbuka, keluarga kita bukan yang berbuka dengan nasi, pun kita boleh buat hidangan sejukbeku ini.

Untuk mee/kuey teow/meehoon goreng, kita siapkan pes. Tumis bawang dengan cili kisar. Biarkan hingga cili masak. Masukkan potongan ayam, udang, sosej, bebola ikan, bebola ayam. Perasakan garam sesiap. Sejukkan, bahagikan dan masukkan dalam bekas dan bekukan. Jadi sebelum pergi kerja, pindahkan ke bahagian sejuk. Balik tinggal potong sayur je macam kucai, sawi. Panaskan minyak, masukkan pes, masuk sayur dan mee/kuey teow/meehoon, gaul sebati dah siap hidangan berbuka. Buatlah banyak untuk 3 kali masak sekurang-kurangnya.

Jadi menu dah ada mee goreng, mee hoon goreng, kuey teow goreng. Boleh juga guna spaghetti dan makaroni so jagi spaghetti goreng dan makaroni goreng. Siap menu 5 hari.

Buatkan sup satu periuk. Jadi menu sesuai adalah Soto, Mee Sup, Mee hoon Sup, Kuey Teow Sup, Macaroni Sup. Siap dah 4 hari.

Resepi Puding Roti Savory tu pun boleh dibuat awal dan dibekukan. Kita boleh buat satu bekas besar, ataupun kecil-kecil begini.

Sumber : Google
Antara resepi mudah tapi mengenyangkan adalah seperti Makaroni bakar, Spaghetti Bolognese yang mana kuahnya kita buat awal, Casserole, Baked Spaghetti/Macaroni/Pasta, Pizza, Chicken Pot Pie, Popia, French Toast, Karipap macam-macam lah.

Cari je 'freezer meal' pastu pilih mana yang senang dan sedap. 

Cepat kan? Kalau berbuka jam 7.25pm, Jam 6.45pm mula masak pun sempat. Buat air, hidang, dah sampai waktu berbuka. 

Rasa pun sama sebab kita masak hari Sabtu kan? Boleh rasa sesiap.

27 June 2014

Penat Sekali Je, Senang Berkali-Kali Semasa Ramadhan

Teks : Saudah Salleh

2 hari menjelang Ramadhan. Pasti esok Tesco, Giant, Aeon Big, Hero, Econsave dan pasar malam serta pasar tani penuh. Mula membeli barang keperluan Ramadhan nanti.

Tahun ini saya kurang teruja membeli belah. Lebih sibuk mengatur pengisian Ramadhan. Kami bercadang berbuka di masjid kerana waktu kerja suami sehingga 5.30pm. Iyalah masa inilah ramai pelanggan menghantar kereta untuk diservis bagi perjalanan balik kampung nanti.

Tetapi, sebenarnya saya telah menyiapkan perancangan bersahur untuk sebulan. Ahad nanti, saya siapkan Insyaallah.

Begini caranya. Sangat sesuai untuk ibu berkerjaya dan keluarga yang tidak berapa cerewet. Hihi.

Pernah dengar makanan sejukbeku? Atau terkenal dengan nama FROZEN food. 

Saya akan menggunakan konsep ini sepanjang Ramadhan ini supaya saya lebih fokus kepada ibadah khusus. Saya ni lembik sikit kalau puasa. Tak banyak, sikit je. Hihi. Lembik bila dah petang tambah lagi dengan gastrik. Jadi perancangan saya ini sesuai untuk saya dan semoga ianya memberi manfaat juga kepada yang lain.

Tambahan lagi, bengkel Rahim Auto beroperasi hari Ahad sepanjang Ramadhan ini. Jadi Sabtu dan Ahad sayalah kerani akaun di bengkel. Maknanya saya bekerja 7 hari seminggu sepanjang puasa kali ini. Wow. Semoga saya kuat sepanjang hari. Ameen.

Eh dah kemana lah cerita saya ini. Oh Frozen food.

Ahad ini, saya akan memasak dan menyimpan masakan saya di dalam peti sejuk bahagian sejukbeku. 30 hidangan sejukbeku. Tak banyak. Tapi menjimat masa saya.

Ada dua cara. Satu cara, 1 ekor ayam dipotong 20. Masak kari ke lemak cilipadi ke, goreng dan buat sambal ke. 1 ekor ayam tu semua masak jadi 1 lauk. Contoh saya masak kari. Bila dah sejuk sikit, sediakan bekas makanan bertutup. Atau boleh juga beli beg plastik seperti ini. 



Lagi satu cara yang menjimatkan adalah menggunakan aluminium foil seperti Andrea Drekker yang sangat menjimatkan wang dan ruang freezer kita.




Katalah sekali makan untuk sahur, keluarga ini makan 5 ketul ayam. Jadi dari seekor ayam, kita dapat 4 bungkus yang boleh digunakan 4 kali sahur. Kiranya 1 minggu dapat makan 1 kali kari ayam. Mudahkan? Sekali masak selesai 4 hari punya hidangan.

Kemudian 1 ekor lagi masak pulak Lemak Cili Padi. Bahagi kepada 4 bungkus dapatlah 4 hari lagi.

Ayam goreng pula, siap lumur dengan garam dan kunyit. Atau nak best, letak bawang dan halia kisar beserta garam dan kunyit. Dapatlah makan ayam berempah waktu sahur. Bau gorengan ayam tu pasti mudah anak-anak nak bangun sebab kan bau ayam goreng tu wangi?

Dengan 3 ekor ayam, kita dah dapat 12 hidangan sahur.

Untuk ikan, saya buat perkara sama juga. CUMA, jangan masak terlalu lama sebab nanti bila sahur, kita kena panaskan balik lauk tu, takut ika tu terlalu masak. Ikan sedap kalau buat masak kicap.

Untuk cepat, siap-siap goreng ikan. Dah sejuk sikit, terus bungkus dan bekukan. Tinggal tumis bawang, masuk kicap dan air, masukkan ikan dah siap.

Kalau nak buat paprik, ayam siap cuci dan potong kecil kan. Terus lumur kunyit dan garam, masuk plastik terus simpan atau bekukan. Atau nak goreng separuh masak pun boleh. Jadi sahur tinggal nak tumis bawang dan masukkan sayur je nanti.

Sup ayam, tomyam ayam daging, sambal tumis juga boleh dibuat awal dan dibekukan.

Bila nak tidur lepas terawikh nanti, cuma keluarkan dari bahagian sejuk beku dan letak di bahagian sejuk. Masak nasi dah boleh tidur. Bangun pagi, lepas tahajud, terus panaskan nasi dan lauk. Tinggal tumis sayur je. Atau goreng telur, ikan masin, ikan pekasam buat pembuka selera.

Memudahkan kita dan yang pasti, kesihatan keluarga terjamin sebab kita mesti pastikan ayam ikan semua dibasuh bersih, minyak masak pun minyak baru, tiada bahan perasa berlebihan dan yang penting, semasa memasak sentiasa membaca Basmalah di awalnya, Al-Fatihah semasa mengacau menumis serta Surah Al-Kauthar supaya masakan kita SEDAP. Cubalah dahulu, tengok betul apa yang saya kata.

Ini untuk 1 kali hidangan. Kalau keluarga kita berbuka dengan nasi pun boleh juga buat begini. Lagi best sebab berbuka ayam masak lemak, bersahur kita makan ikan masak kicap. Taklah sama je menu sahur dan berbuka, kan?

Penat sekali je, senang berkali-kali. Semoga bermanfaat.


Iklan :

Like FB Rahim Auto untuk promosi

23 June 2014

Hujung Minggu yang Menginsafkan!

Teks : Saudah Salleh

Minggu lepas, saya banyak bermain dengan emosi. Banyak bermain dengan perasaan. Aura negatif seakan menyusup masuk dengan mudah menjadikan saya tertekan, mudah melenting, mudah terasa dan PENAT.

Namun, saya kemudiannya tersedar bahawa saya yang membuatkan diri menjadi penat. Sebab terlalu berfikiran negatif. Jadi saya terus merelakskan diri dan melepaskan semua emosi negatif itu.

Kemudian, saya mendapat jemputan dari rakan saya yang mengadakan sesi Business Coaching untuk berkongsi dengan peserta sesi dari sudut pandangan seorang usahawan. Mula-mula saya gemuruh sebab rasa macam tak layak nak berkongsi, tapi saya teruskan jua dengan doa agar saya dapat memberikan manfaat kepada mereka.

Sesi perkongsian ini sangat berjaya dan kebahagiaan mereka dapat saya baca melalui maklumbalas yang mereka tulis.




Astaghfirullah, Allah menegur saya dengan cara yang sangat halus, sangat best. Saya hampir tidak bersyukur pada minggu lepas semasa saya di lamun kocakan perasaan.

Saya terbaca di blog Ibu Rose bahawa saya adalah penting untuk dunia.

Antara petikan yang membuatkan saya tersentak adalah ini.

"Persoalannya bukan samada kita membawa perbezaan kerana samada kita mahu atau tidak, sedar atau tidak, kita membawa perbezaan ke dunia ini, melalui apa yang kita kata dan tidak kata, buat atau tidak buat.
Perkataan dan perbuatan kita boleh merupakan panah yang membunuh atau ubat yang menyembuhkan. Itulah yang dikatakan tadi, sebenarnya, anda penting untuk dunia!"

Maafkan saya Ya Allah. Jadikan saya ini hamba-Mu yang sentiasa bersyukur.


17 June 2014

Ramadhan Pesta Makanan

Kuliah Puasa dari Sudut Kesihatan.

Oleh Dr Norhissam Mustafa,
CEO IPKIM (Institut Pengurusan Kesihatan Islam Malaysia)

Tajuk 'Ramadhan Pesta Makanan.Jom Ubah ke Pesta Ibadah '

- Zaman kegemilangan Islam, puasa adalah kemuncak kekuatan. Bulan Ramadhan adalah pesta ibadah.

- Banyak peristiwa besar berlaku seperti perang Badar, dan berbagai lagi menunjukkan kekuatan ummah.

- Kini Ramadhan dikaitkan dengan keletihan, kelemahan, mengantuk, kurangnya produktiviti dan kini ianya adalah pesta makanan.

- Ramadhan adalah bulan kesihatan, bulan silaturrahim, musim perubahan, masa hilang ketagihan, bulan lembut hati, bulan keluasan rezeki, bulan membaiki institusi keluarga.

Mengikut kajian kesilapan besar dalam berpuasa;-

1. Menghimpunkan makan malam dengan berbuka puasa adalah KESILAPAN.

- Nabi buka puasa dengan 3 biji kurma (atau makanan yg tinggi pottasium seperti makanan bergula perang, bukan bergula putih) dan air kosong.
- Sebab buka puasa bukan untuk perut tetapi untuk beri tenaga kepada hypotanamos (otak dalam otak).
- Elakkan hidang makan malam semasa berbuka.
- Hypotanamos yang keletihan berfungsi sepanjang hari akan tidak berfungsi dengan betul sekiranya makanan masuk dengan banyak semasa berbuka.
- Ianya menyebabkan masalah serius kesihatan.
.
2. Jangan window shopping ke bazar ramadhan.

- Ia akan mengganggu fungsi kawalan hypotanamos.
- Ianya menyebabkan kita hilang perhitungan untuk terus membeli makanan yang kita tidak perlu.

3. Jangan lewatkan solat maghrib.

- Makanan yg dimakan menghasilkan tenaga untuk diagihkan keseluruhan tubuh melalui sel.
- 1kilo berat badan mempunyai 10000 trilion sel. 
- Tenaga ini perlu ditolak oleh tenaga yang dilakukan oleh solat yg disegerakan. Allahuakbar.

4. Selepas solat maghrib, sel sudah dapat tenaga. Balik terus makan malam.

- Fully auto kita akan makan secara baik.
- Jangan lebih lima jenis makanan dalam satu hidangan. Nasi, lauk, sayur, buah dan air.

5. Selepas makan malam, sangat baik kita MANDI dengan air sejuk.

- Jangan pakai heater. Boleh pakai ais tambah sejuk. Jangan risau mandi malam dengan paru-paru berair. DONGENG.
- Dalilnya jika kita berhadas besar, feqah suruh segera mandi tanpa menunggu pagi.
- Janga mandi macam burung untuk elak paru-paru berair. Burung mandi dengan cara basahkan rambut tapi badan tak basah.

6. Selepas mandi, sebelumm pegi solat isyak, minum setengah cawan minuman campuran 3 biji kurma, satu sudu teh madu lebah dan susu segar yg diblender.

7. Solat Isyak berjemaah.

- Lepas tu sembahyang terawikh solat dengan perlahan dan santai. Jangan cari yang gopoh gapah.

8. Pastikan ringan ambil moreh.

- Makan lepas pukul 10.30pm adalah kemudharatan yg besar.
- Masa ini tenaga sudah cukup penuh dlm badan. 
- Masa tu aktiviti terbaik adalah tadarrus minima 1 helai.
- Masa ini tenaga akan bawa input terbaik kedalam otak dan hati.
- Kalau masa ini diisi dengan aktiviti atau info yang lalai, maka otak dan hati akan merakam perkara yg kita isi dan boleh menjadi pegangan kita seterusnya.

9. Selepas itu sebaiknya tidur sebelum pukuk 12.00 malam untuk kerehatan.

- Jangan pasang lampu semasa tidur kerana pasang lampu meningkatkan kadar kolestrol 4 kali ganda.

10. Selepas itu bangun pukul 3.00am untuk qiamullail.

- Sunat kejutkan ahli keluarga dengan renjis air sejuk dengan hujung jari. Boleh mandi. Takde masalah kesihatan.

11. Sempurnakan 13 rakaat solat.

- Sunat wuduk, taubat, tahajjud, hajat dan witir,

12. Selepas qiam, boleh tidur tetapi ringankan seperempat.

- Masa ni di langit ada spektrum bewarna merah jambu antara 3.00 pagi hingga 5.00 pagi. 
- Masa ini Allah anugerahkan kesembuhan kepada banyak penyakit.

13. Sahur.

- Sebaik-baik sahur adalah seperlapanbelas dari makan malam iaitu lebihan makan malam.
- Lewatkan masa masak untuk elak cepat basi. Lebihkan masak masa mkn malam, jangan campur garam dan simpan sikit untuk sahur. Bila nak sahur panaskan dan baru campur garam

14. Selepas sahur, terus solat subuh berjemaah.

15. Jangan tidur selepas subuh kerana gangguan kepada hypotanamos. 

- Ia akan menyebabkan masalah kesihatan

16. Tidur qailullah ( 1 jam sblm zohor).

- 1 minit waktu ini menyamai tenaga tidur sejam waktu biasa.



*Cara makan kurma.
- 60% kebaikan berada pada selaput permukaan luar kurma.
- Masukkan sebiji kurma dan last sekali keluar biji.
- Jangan kupas di luar.
- Kurma terbaik ada 4 jenis. Ajwa, mabrom, sapawi, mariami.

*Puasa adalah detoksifikasi. 
- Ia berlaku apabila fungsi proses makanan dlm perut berehat lebih dari 8 jam.

*Sebelum sampai Ramadhan, berazam untuk berlatih untuk tingkatkan ibadah dengan latihan pra Ramadhan.

16 June 2014

Gua Sha, Pernah Dengar?

Teks : Saudah Salleh

Stress. Bagi wanita yang berkerjaya,  stress adalah seperti teman rapat kan? Pagi kita bangun, kita pakai topi EMAK. Sebab nak kena siapkan anak-anak dan ayah anak. Kemudian, masuk dapur pakai topi CHEF pula. Buatkan hidangan sarapan, bekal anak-anak dan bekal makan tengahari. Dah tu, pakai topi pekerja pulak sampai petang. Malam sambung jadi CIKGU pulak.

Saya memang sentiasa mencari masa dan peluang untuk berurut kerana berurut memang dapat melegakan lenguh-lenguh badan terutama pada bahagian bahu dan kaki.

Saya pernah dengar tentang Gua Sha, jadi bila ternampak banner di bawah ini, terus saya sms. Nak percuma kena cepat. Tapi masa tu kalau tak dapat pun takpe. Yang penting kita cuba. Sebab tak perasan banner ni bila letaknya. 

Bestnya bila dapat jawapan serta-merta dari Yasmin Anggun.








Jangan takut, memang percuma (pada masa tu lah, hihi).

Dah tetapkan tarikh dan masa, rasa seronok kemudian terus buat penyelidikan. Rupanya Gua Sha ni dah lama dah.

Dari Wikipedia - is a traditional Chinese medical treatment in which the skin is scraped to produce light bruising. Practitioners believe gua sha releases unhealthy elements from injured areas and stimulates blood flow and healing.

Sedap kena gua sha. Adik Yasmin Anggun ni pun sangat informatif. 

Lepas di gua sha kan, malam dan esoknya banyak berpeluh. Tandanya toksin sedang dinyahkan dan aliran darah berjalan lancar. Tapi peluhnya tidaklah sampai basah teruk, cuma bila kita duduk je pun rasa berpeluh sedikit. Jadi macam bestlah, kononnya kita macam exercise (berpeluh) walaupun hanya duduk. Hihi.

Cubalah sms, mana tahu ada lagi promosinya.

09 June 2014

RESEPI : PUDING ROTI SAVORY (SAVORY BREAD PUDDING)

Teks : Saudah Salleh

Saya tak tahu bagaimana untuk menterjemahkan perkataan Savoury/Savory kerana apabila menggunakan Google Translate, savory bermaksud makanan yang sedap.

Jika dilihat kepada maksud dari kamus, savory adalah makanan yang masin atau pedas atau berempah atau boleh juga dikatakan savory apabila hidangan tersebut mempunyai daging. Savory dish biasanya dihidangakan sebagai pencuci mulut atau diakhir hidangan.

Resepi ini sangat mudah dibuat, yang lama adalah proses membakarnya yang mengambil masa 30-40 minit. Tapi yang menariknya adalah jika kita nak makan untuk sarapan atau minum petang esok hari, kita boleh siapkan dahulu, tinggal bakar je waktu nak makan. 

Malahan, resepi ini menjadi kegemaran mereka yang mengamalkan 'freezer meal'. Maknanya, siapkan pada hari minggu, bekukan dalam peti dan bakar untuk makanan malam atau sarapan atau minum petang atau untuk makan tengahari. Sesuai juga untuk hidangan ramai seperti parti harijadi, potluck, BBQ yang memudahkan tuan rumah.

Okay, ini resepinya.

Roti - potong atau koyakkan. Boleh gunakan pelbagai jenis roti kesukaan seperti Roti Gardenia ini.

sumber : Google
Daging - ayam tanpa tulang/dada ayam/daging kisar/beef pepperoni/sausage

Sayur - bayam hijau/leek/artichoke/carrot/broccoli/capsicum/celery

Cendawan - cendawan segar seperti Shitake/White Buttons/Portobello atau cendawan dalam tin

Bawang - bawang merah besar atau Holland

Telur - 2-3 biji gred A

Susu - 2-3 cawan susu segar/cooking cream

Keju - jika suka

Perasa - garam, blackpepper


Cara-cara :-

1. Roti dipotong atau dikoyakkan.

2. Daging, sayur, bawang dihiris nipis.

3. Panaskan oven pada suhu 180 darjah celcius.

4. Satukan telur dan susu dalam mangkuk.

5. Tumiskan bawang, kemudian setelah naik bau masukkan daging.

6. Bila daging masak, masukkan sayuran dan bahan perasa.

7. Tutup api dan masukkan roti. Gaul rata biar sebati.

8. Tuang bahan yang ditumis ke dalam mangkuk yang telah disapukan butter atau minyak zaitun.

9. Tuangkan adunan telur dan susu. Kalau tak cukup, tambahkan susu.

10. Biarkan 5-10 minit supaya roti menyerap adunan susu telur. Kalau nak cepat, tekan-tekan roti biar tenggelam dan menyerap susu.


11. Bakar dalam oven selama 30 - 40 minit pada suhu 180 darjah celcius (bergantung kepada oven). Macam Odah, 40 minit dengan suhu 130 darjah celcius tanpa memanaskan oven dahulu.


12. Bila dah masak, biarkan 10 minit kemudian baru dipotong.






Tinta Si Isteri Mekanik Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign