Tinta Si Isteri Mekanik: RESEPI : ASAM PEDAS IKAN SELAR untuk orang yang takut nak masak asam pedas macam saya.

24 June 2016

RESEPI : ASAM PEDAS IKAN SELAR untuk orang yang takut nak masak asam pedas macam saya.

Senangnya la hai nak masak asam pedas ni rupanya. Saya pernah masak beberapa kali, tapi tak sedap. Ada yang termasam, ada pernah tercair. Bila macam tu, dah malas dah nak masak, pergi makan kat 2 kedai yang sedap masakan asam pedas dia. Satu di Restoran Sri TTDI dan satu lagi Hot Pindang.

Tapi masa Ramadhan ni, teringin sangat nak masak Asam Pedas ni. Jadi masa pergi beli barang basah, ternampak ikan selar yang sederhana saiznya. Isi nampak cantik, lagipun tak mahu beli yang besar tu, sebab nanti kena potong dua dan isinya lebih padat. Untuk mak ayah, nanti katanya tak habis makan sahur.

Saya tak ingat resepi siapa saya gunakan. TIPS untuk masak Asam Pedas ni ada 2. Kena ikut sebab saya rasa nilah penyebab asam pedas yang saya masak sebelum ni tak sedap.

Tips pertama - blend sendiri cili kering. Jangan gunakan cili giling ke cili boh yang siap kat kedai tu. Takut rasa dia lari.

Tips kedua - gunakan asam jawa biji, bukan PES. Hari tu, saya beli pes asam jawa ADABI, tapi tak pandai sangat bajet. Iyalah, pes kan, sure pekat dan masam. Lepas tu saya pakai banyak, memang naya betul.

Tips extra - minyak kena banyak untuk masakkan cili betul-betul. Letak sikit kunyit hidup atau serbuk kunyit untuk warna yang cantik. Letak terung bulat, bendi, bunga kantan atau tomato, senang dah siap ada sayur hehehe.

Okay ini cara paling senang saya jumpa dan memang terbukti senang.

Bahan-Bahan:

7 ekor Ikan Selar saiz kecil - panjang tapak tangan

1 cawan minyak

15-20 biji Cili Kering*
2 biji Bawang Besar*
1/2 inci Kunyit Hidup/1 sudu teh Serbuk Kunyit

*Blend

1 cawan Air
1 cawan Air + Asam Jawa sebesar telur ayam - sebatikankan asam jawa dengan air

Daun Kesom

Bendi**
Tomato**
Bunga Kantan**
Terung**

**Tambah kalau suka


Cara-cara:

1. Panaskan minyak 1 cawan.
2. Tumiskan bahan blend (bawang, cili, kunyit). Masak sampai cili garing iaitu minyak berada di atas cili. Tambah 2 sudu air dan biar garing semula. Tambah lagi 2 sudu air dan biar garing semula. Ini untuk masakkan dan garingkan cili tu betul-betul.
3. Masukkan air asam jawa dan biar mendidih. Tambah 1/2 cawan air dulu, kalau tak cukup baru habiskan 1/2 cawan lagi. Saya suka Asam Pedas yang sederhana pekat, kalau suka cair, tambah air lagi ya.
4. Tambah garam dan gula, biar rasa seimbang antara pedas, masam, masin.
5. Masukkan sayur-sayur yang keras, macam terung dan bendi.
6. Masukkan ikan dan biarkan sampai ikan masak dan sayur lembut.

Saya tak masukkan belacan, tapi boleh masukkan kalau suka. Cuma kalau masuk belacan, garam tu kena masuk sikit dulu, takut belacan tu masin.

Saya suka biar kuah mendidih lama sikit, baru masuk ikan. 

Tapi kali ni, saya guna Periuk Noxxa. Lepas cili garing, masukkan air asam, sayur dan ikan, setkan HP 3 minit. Dah siap macam gambar bawah ni.



Selamat mencuba.

Tinta Si Isteri Mekanik Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign